Syukur ertinya berterima kasih atau menghargai. Menghargai bukan sahaja dengan perkataan, malah menghargai dengan perbuatan adalah lebih penting.
Bersyukur adalah asas kedua bagi menarik kejayaan. Syukur adalah getaran perasaan yang mempunyai gelombang berfrekuensi positif. Tidak hairanlah dalam Surah Ibrahim ayat 7, Allah berfirman,
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu…”
Kita disarankan untuk bersyukur dalam setiap perkara yang kita alami. Kita perlu bersyukur apabila dinaikkan pangkat. Kita juga perlu bersyukur sekiranya ditimpa musibah dan kesusahan. Ini kerana, setiap ujian pasti mempunyai sesuatu hikmah yang tersembunyi seperti janji Allah dalam surah al-Insyirah, ayat yang ke-5,
“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
Malah ayat yang sama diulang lagi pada ayat yang seterusnya,
“Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
Pengulangan ini menunjukkan bahawa Allah ingin memberi penekanan mengenai perkara ini. Penekanan ini sepatutnya diambil berat dan diterjemahkan dalam kehidupan kita semua.
Antara tanda syukur ialah sentiasa memuji dan bertasbih kepada Allah. Amalan ini akan meningkatkan tarikan kejayaan dan kebahagiaan serta dapat menarik nikmat yang lebih banyak dalam hidup kita.
Malah menurut Amr Khalid, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Right Start Foundation, ada tiga perkara yang boleh membantu kita mencapai kebahagiaan. Salah satunya ialah sentiasa memuji dan bersyukur kepada Allah.
“Jika dapat nikmat, pujilah Allah. Jika rezeki lambat, mohonlah keampunan dari-Nya. Jika ditimpa musibah, perbanyakkan zikir “La haula wala quwwata illa billah”.”
Memuji sebagai tanda syukur
“Dan adapun tentang nikmat Rabbmu maka ceritakanlah.” (Surah ad-Dhuha:11)
Memuji dan menyebut nikmat-nikmat yang kita dapat termasuk dalam kategori syukur. Ini bukan sahaja terpakai dalam hubungan dengan Tuhan, malah perkara yang sama perlu dilakukan apabila mendapat kebaikan dan nikmat daripada manusia. Ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
“Barangsiapa yang diberikan kebaikan kepadanya hendaklah dia membalasnya dan jika dia tidak mendapatkan sesuatu untuk membalasnya hendaklah dia memujinya. Karena jika dia memujinya sungguh dia telah berterima kasih dan jika dia menyembunyikannya sungguh dia telah kufur. Dan barangsiapa yang berhias dengan sesuatu yang dia tidak diberi sama halnya dengan orang yang memakai dua baju kedustaan.” (HR. Abu Dawud no. 4179, At-Tirmidzi no. 1957 dari Jabir bin Abdullah)
Menulis 100 nikmat setiap hari
Bagaimana untuk merelisasikan rasa syukur ini?Berikut adalah cadangan daripada Ir. Ezwan Mokhtar, pemilik RahsiaTarikan.com:
“Untuk mengubah kehidupan kita dengan cepat, gunakan kesyukuran bagi menukar energi kita. Apabila kita meletakkan semua energi kita dalam kesyukuran, kita akan melihat keajaiban mengambil tempat dalam kehidupan kita. Bagi mengubah sesuatu dengan cepat, tuliskan 100 benda yang kita harus bersyukur setiap hari, sehingga kita melihat perubahan. Kuasa kita adalah dalam perasaan yang kita letakkan dalam kata-kata kesyukuran.”
Sekiranya kita tidak mampu menulis 100 perkara yang perlu disyukuri setiap hari sekalipun, saya mencadangkan kita menulis sekurang-kurangnya 7 perkara. Kita boleh menulis dengan lebih spesifik supaya perkara yang ditulis ada keunikan dan berbeza dengan hari-hari sebelumnya.
Sebagai contoh, apabila kita ingin meluahkan kesyukuran tentang anak-anak, kita boleh menulis dengan sepesifik seperti ini,
“Hari ini saya sangat bersyukur kerana saya masih lagi dipinjamkan anak yang comel dan sihat.”
Esoknya, sekiranya kita ingin menyatakan kesyukuran tentang anak yang sama, kita boleh menulis seperti:
“Hari ini saya sangat bersyukur kerana mempunyai anak yang sempurna pancainderanya dan mendengar kata.”
Begitulah yang dilakukan setiap hari supaya semakin banyak nikmat tertarik dalam hidup kita. Mudah bukan? Kerana nikmat Tuhan itu begitu banyak dan tidak akan habis sampai bila-bila..
Berikut saya sertakan borang yang boleh membantu kita meningkatkan getaran kesyukuran ini, sekaligus menarik kejayaan dan kebahagiaan.
Kesimpulannya, kita perlu sentiasa bersyukur dan bersangka baik kepada Allah kerana Dialah yang Maha Bijaksana dalam mengatur urusan hamba-hamba-Nya.
Selamat menjadi MAGNET Kejayaan dan Kebahagiaan!





Posted in 

